Mesir Ganggu Misi Viva Palestina

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my


AHLI Parlimen Britain, George Galloway (kanan) bercakap dengan lelaki yang tidak dikenali ketika mereka memeriksa sebuah ambulans yang masuk ke Semenanjung Gaza bersama konvoi Viva Palestina di bandar Gaza. - afp


KONVOI Antarabangsa Viva Palestina anjuran sebuah badan kebajikan London yang berlepas dari United Kingdom (UK) pada 6 Disember baru-baru ini menghadapi cabaran besar di Mesir iaitu destinasi terakhir dalam perjalanan sejauh 4,828 kilometer sebelum sampai di Semenanjung Gaza semalam.


Sungguhpun dari segi geografi apabila tiba di Mesir, konvoi tersebut sudah begitu dekat dengan bumi Gaza, namun halangan yang diberikan oleh pihak berkuasa Mesir menjadikan Gaza begitu jauh untuk anggota konvoi berkenaan. Ini kerana perjalanan untuk memasuki Gaza melalui Mesir bukanlah satu perkara yang mudah.
Sebelum sebahagian daripada anggota konvoi berjaya memasuki Gaza, sebanyak 10 anggota konvoi cedera sementara tujuh lagi termasuk seorang sukarelawan Malaysia ditahan polis Mesir.

Mereka ditahan kerana mengadakan protes membantah tindakan pihak berkuasa Mesir yang menghalang konvoi 59 kenderaan itu daripada meninggalkan Pelabuhan El-Arish untuk masuk ke Gaza.

Bagaimanapun, warga Malaysia berkenaan, Ibrahim Mohd. Azmi dibebaskan kelmarin selepas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghubungi isteri Presiden Mesir, Suzanne Mubarak bagi merayu pembebasannya.
Konvoi tersebut terdiri daripada 450 individu dari pertubuhan bukan kerajaan (NG0) dari 17 negara termasuk Malaysia yang membawa pelbagai bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Bantuan yang dibawa termasuklah makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan, bahan bacaan dan barangan mainan untuk kanak-kanak yang kesemuanya bernilai RM3.4 juta.
Perjalanan Viva Palestina dari London merentasi 10 buah negara dan bandar raya di Eropah sebelum sampai di Turki, Syria dan Jordan.

Namun ketika sampai di Jordan, pada mulanya pihak berkuasa Mesir enggan membenarkan mereka menempuh negara tersebut melalui sempadan Aqaba di Jordan untuk masuk ke Gaza.
Mesir hanya membenarkan konvoi berkenaan memasuki negaranya melalui Pelabuhan El-Arish yang menghadap Laut Mediterranean.

Ini memaksa anggota konvoi berpatah balik dan memandu ke Pelabuhan Latakia di Syria sebelum menyewa feri untuk membawa kenderaan masing-masing, sementara anggota konvoi terpaksa menaiki penerbangan ke El-Arish, Mesir.
Bagaimanapun, apabila tiba di El-Arish, Mesir masih memberikan pelbagai halangan kepada anggota konvoi untuk masuk ke Gaza seolah-olah sengaja ingin melihat anggota konvoi Viva Palestina dan bantuan yang dibawa terkandas di negaranya.
Masalah lain yang dihadapi oleh konvoi Viva Palestina adalah pasport mereka dirampas selama beberapa jam oleh pihak berkuasa Mesir dan perlu berhadapan dengan hampir 2,000 polis anti-rusuhan Mesir.

Bantuan yang dibawa konvoi berkenaan dijadualkan disampaikan kepada penduduk Gaza pada 27 Disember lalu sempena ulang tahun pertama serangan besar-besaran tentera Israel di Gaza setahun lalu.
Serangan selama lebih tiga minggu itu mengorbankan kira-kira 1,400 rakyat Palestin dan 13 warga Israel.

Bagaimanapun, halangan oleh pihak berkuasa Mesir menyebabkan konvoi berkenaan gagal mengikut jadual yang ditetapkan sekali gus melewatkan penduduk Gaza menerima bantuan yang diharapkan.

Antara warga Malaysia yang menyertai konvoi berkenaan ialah tiga wakil daripada Pertubuhan Aman Global Perdana (PGPO) dan wakil agensi berita Bernama. PGPO menyumbang bantuan kemanusiaan bernilai hampir RM500,000 serta ambulans kepada warga Palestin di Gaza.

Sebagai sebuah negara yang prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Gaza, ketika konvoi berkenaan menghadapi pelbagai masalah di Mesir, kerajaan Malaysia melahirkan hasrat untuk memohon supaya kerajaan Mesir menyegerakan proses kemasukan konvoi Viva Palestina.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan hasrat Malaysia untuk memohon kepada pihak berkuasa Mesir supaya memberikan kebenaran kepada Viva Palestina meneruskan perjalanan ke Gaza.
Selain Malaysia, negara lain perlu turut bersuara bagi memberikan tekanan kepada Mesir untuk membenarkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza melalui negara tersebut.

Sebelum ini, warga Jordan pernah berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Mesir di Amman kerana membantah pembinaan tembok bawah tanah yang akan mengubah keseimbangan kuasa di kawasan bergolak tersebut.
Jika tembok itu benar-benar disiapkan, ia akan menyekat perhubungan terakhir Gaza dengan dunia luar melalui terowong-terowong penyeludupan.
Masyarakat antarabangsa perlu terus memberikan tekanan kepada Mesir supaya mempunyai sedikit nilai kemanusiaan ke atas penduduk Gaza yang selama ini hidup dalam keadaan tertindas.

Tanpa desakan masyarakat antarabangsa, Mesir akan terus mewujudkan pelbagai halangan bagi menyukarkan laluan Viva Palestina mahupun bantuan lain kepada penduduk Gaza yang hidup dalam sekatan selama lebih dua tahun.
Justeru, masyarakat dunia perlu bersatu dan konsisten dalam memberikan desakan ke atas pihak-pihak yang menyeksa hidup penduduk Gaza dan rakyat Palestin yang lain.


0 comments:

Catat Ulasan