Sultan Nuruddin Mahmud Zinki

Oleh : Jil Salahuddin al-Ayyubi

Ibnu al-Katsir menyatakan :

“Seluruh yang saya baca tentang raja, baik pada masa penggal pra Islam dan pada masa Islam hingga sekarang, saya tidak pernah melihat seorang raja yang lebih adil dan baik kepada rakyat bawahannya setelah Khulafa’ Arrasyidin dan Umar bin Abdul Aziz yang punya sejarah baik dari Nuruddin, raja yang adil.”


Nuruddin Zinki memiliki kemampuan dan karakter yang seakan ayahnya Imaduddin Zinki dalam mentadbir negara. Beliau meneruskan variasi kepimpinan ayahnya dengan menumpukan pada pembangunan negara yang baru dan mengatasi permasalahan yang sedang meliputi khususnya bahaya yang datang dari tentera Salib.


Nuruddin betul-betul menyemangati roh perjuangan ayahnya dalam membela agama. Sewaktu hayat Imaduddin Zinki, beliau berusaha habis-habisan untuk menakluki kota Damsyik yang diyakini sebagai ’kunci’ untuk merebut kembali Palestin.



Nuruddin Mahmud Zinki lahir setelah 20 tahun kejatuhan Baitul Maqdis ke tangan Salib pada 17 Syawal 1511 bersamaan Februari 1118 Masihi. Beliau merupakan pengikut Mazhab Hanafi yang mempunyai ilmu yang luas sehinggakan beliau diberi izin untuk meriwayatkan hadis-hadis. Keperibadian Nuruddin memaparkan beliau sebagai seorang pemimpin ummah berwibawa. Dalam majlisnya, tidak dibicarakan hal-hal kecuali hal ilmu, agama dan jihad.

Beliau mempraktikkan dalam hidupnya dengan adab yang sentiasa menghormati ulama’ dan menghargai mereka. Apabila beliau didatangi oleh seorang fakih dan soleh, beliau berdiri terlebih dahulu dan mempersilakan orang tersebut duduk. Beliau memperlihatkan penghormatan dan penghargaan kepadanya.
Menurut Nuruddin : ”Para ulama’ adalah tentera Allah dan dengan doa mereka kepada Allah kita akan dimenangkan melawan musuh. Mereka punya hak yang berlipat ganda di Baitul Mal yang tidak saya berikan, kalau mereka rela dengan apa yang kita lakukan atas sebahagian hak mereka, maka itu adalah pemberian bagi kita”.

Lihatlah, betapa tinggi komitmen yang dipamerkan oleh Khalifah yang juga layak digelar sebagai Ulama’ yang bersuri teladan kepada sejarah para ulama’ salafussoleh. Maka, tidak mustahil generasi selepasnya dapat mencontohinya sehinggakan lahirnya seorang pejuang agama Salahuddin al-Ayyubi.

Dalam tempoh pemerintahannya selama 28 tahun, Nuruddin berusaha menyatukan umat Islam kesan motivasi daripada Imaduddin Zinki demi untuk Islam. Beliau juga bersungguh-sungguh dalam membebaskan tanah-tanah umat Islam yang dijajah.

Selaras dengan matlamat-matlamat utama kepemimpinan Sultan Nuruddin Zinki, beliau telah menyusun perancangan yang cukup rapi. Antara agenda penting dalam perancangan untuk merealisasikan matlamat tersebut ada disebut di bawah.

Enam Agenda dalam kepemimpinan Sultan Nuruddin Mahmud Zinki :
1. Melahirkan bangsa Islam dan membersihkan kehidupan agama dari pemikiran yang sesat seperti Syiah dan falsafah Yunani.
2. Pemerintahan Islamik beserta menegakkan keadilan dan kesepaduan masyarakat.
3. Menyatukan kekuatan Islam dan menyelaraskan matlamat perjuangan di bawah pemimpin wibawa (menggerakkan Islam di bawah satu wadah-bautaqah).
4. Meningkatkan kehidupan ekonomi dan pembangunan kemudahan awam.
5. Membangunkan pertahanan tentera dan industri senjata.
6. Menyatukan negeri-negeri kecil di Syam, Mesir dan Jazirah Arab.

Kemuncak era kepimpinan Nuruddin Mahmud Zinki adalah pada 1173 Masihi bersamaan 569 Hijrah. Nuruddin bersiap sedia untuk melancarkan serangan terakhir ke Baitul Maqdis dan membebaskan tanah tempat israknya Rasulullah SAW dari cengkaman hegemoni Salib. Maka untuk itu, beliau telah menyiapkan satu mimbar baru yang cantik sekali yang diperuntukkan penggunaanya di Masjidil Aqsa kelak setelah umat Islam berjaya menakluki al-Aqsa. Beliau mengutus surat kepada orang bawahannya di Mesir, Salahuddin al-Ayyubi namun kematian terlalu cepat menjemputnya.

Sultan Nuruddin Zinki telah pulang ke rahmatullah pada 15 Mei 1174 bersamaan 11 Syawal 570 H.

Begitulah akhirnya rentetan jihad seorang mujahid dalam membela nasib umat Islam dan mengangkat kembali darjat agama Islam. Usaha murni beliau diteruskan oleh pewaris selepasnya dan terbukti usaha beliau bersama beberapa individu lain berhasil apabila Baitul Maqdis dapat dibebaskan daripada cengkaman Salib yang zalim selepas 13 tahun daripada tarikh kematiannya.

0 comments:

Catat Ulasan