Solidariti Palestin : Sebuah Catatan dari Manchester


Oleh : Jufitri B. Joha

Dengan membariskan pemuka-pemuka ilmu dan pejuang umat tersohor menjadikan Persidangan Palestin di Universiti Manchester (http://palestine-conference.net/) antara yang terbaik yang pernah penulis hadiri. Tokoh-tokoh seperti Dr. Azzam Tamimi, Pengarang Hamas Unwritten Chapters; Dr Daud Abdullah, mantan Penolong Setiausaha Agung Muslim Council of Britain (MCB); Idris Tawfiq, bekas Paderi Roman Katolik yang memeluk Islam; John Rose, Penulis Bebas berketurunan Yahudi; dan Dr. Stephen Sizer, Pengarang dua buku Christian Zionism: Roadmap to Armageddon dan Zion’s Christian Soldiers sudah cukup menghangatkan suasana dewan Universiti Manchester dengan lontaran-lontaran bertenaga membongkar penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.


Walaupun terpaksa turun ke Manchester daripada Durham mengharungi perjalanan lebih dua jam, namun pelaburan ini ternyata berbaloi kerana panelis-penelis berwibawa, fakta-fakta yang segar dan yang paling penting menambahkan momentum kesedaran untuk terus bersama masyarakat dunia memperjuangkan isu ini.




John Rose memulakan bicara dengan menghimbau sejarah kedatangan Yahudi ke tanahair rakyat Palestin dan peranan British menjayakan rancangan Yahudi menjajah Palestin. Beliau berkongsi fakta yang amat menarik perhatian hadirin dengan menyatakan sebahagian daripada askar Yahudi yang menjajah Palestin adalah individu yang terselamat dari peristiwa pembunuhan Holocaust oleh pihak Nazi. Ini menggambarkan betapa peristiwa Holocaust tidak mampu mendidik mereka agar menjadi manusia yang lebih berperikemanusiaan tetapi menjadikan mereka sebaliknya. John Rose yang merupakan ahli Parti Pekerja Sosialis UK yang konsisten berkempen untuk kemerdekaan Palestin. Beliau yang berketurunan Yahudi sudah lama menyedari bahawa fahaman Zionisme tidak bersesuaian bahkan bertentangan dengan fahaman dan idea perjuangan sosialis dan internationlis.


Penulis masih teringat ketika sama-sama terlibat membantu penganjuran ceramah ‘road show’ Palestin oleh Israel Shamir, pengendali laman israelshamir.net dan Adam Shapiro, aktivis International Solidarity Movement (ISM) di Malaysia beberapa tahun lalu, membetulkan persepsi penulis dan rakyat Malaysia bahawa tidak semua orang Yahudi menyokong idea dan agenda perjuangan Zionisme. Walaupun aktivis-aktivis kemanusiaan seperti John Rose, Israel Shamir, Adam Shapiro mahupun yang lain-lain yang berkuturunan Yahudi, namun ia tidak sedikit membuatkan mereka cenderung untuk menyokong tindakan negara haram Israel bahkan merekalah yang sanggup bermati-matian mempertahankan nasib rakyat Palestin.


Dewan dihangatkan lagi dengan pidato Dr. Azzam Tamimi dengan menyatakan rakyat Palestin bukannya hendakkan sangat negara atau menambahkan lagi senarai 22 negara Arab yang korup tetapi yang mereka mahukan adalah keadilan untuk kembali menduduki tanahair mereka yang sudah lama di bawah cengkeman Zionis. Dr. Azam Dr. Azzam Tamimi yang juga merupakan mantan Pengarah Institute of Islamic Political Thought (IIPT) London lantang menegaskan juga terdapat juga umat Islam yang berfahaman zionis dengan membina tembok 30 meter di dasar bawah tanah bagi menghalang penyaluran bantuan makanan dan keperluan harian melintasi sempadan Mesir menuju Gaza. Mereka langsung tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa apatah lagi memahami penderitaan rakyat Palestin.


Tambah menarik apabila mendengar perkongsian Dr Stephen Sizer (http://www.stephensizer.com/) yang juga merupakan pastor senior kepada Gereja Christ, Virginia Water. Beliau menyingkap dengan terperinci sejarah penjajahan Israel ke atas Palestin dari sudut kaca mata sebagai seorang Kristian. Namun apa yang menarik dari pembentangan bertenaga beliau ialah pereka web kempen politik pilhanraya untuk Obama dan Netanyahu merupakan orang yang sama berdasarkan rekabentuk web yang serupa. Ini jelas menunjukkan ada kaitan dan hubungan istimewa antara Presiden Amerika Syarikat dengan Israel yang terjalin atas dasar kepentingan masing-masing. Lebih mengejutkan pendedahan Sizer ialah ada pemimpin Kristian cuba menafsirkan Bible membenarkan dan menghalalkan Israel melakukan penindasan ke atas rakyat Palestin. Mungkin inilah yang dikatakan kepercayaan sebahagian daripada penganut Kristian Evengelist khusunya golongan Post-Millennialism bahawa dengan tertegaknya negara Israel sesegera mungkin maka akan mempercepatkan lagi turunnya Nabi Isa yang bakal menjadi penyelamat mereka.


Di sebalik perbincangan menarik di atas, peranan generasi muda harus digembeling agar terus komited membantu perjuangan rakyat Palestin dengan apa cara sekali pun. Lebih praktikal, generasi muda di saran agar turut menyumbang kudrat dengan menyertai pertubuhan-pertubuhan Islam yang giat memperjuangkan isu ini seperti Aman Palestin, Palestine Centre of Excellent (PACE), ABIM dan Muassasah al-Quds Malaysia. Segelintir anak muda juga harus dilatih untuk melobi isu Palestin di pentas-pentas antarabangsa seperti forum-forum terbuka, persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain agar isu ini mendapat perhatian dunia dan menjadi perkara utama yang harus diselesaikan segera oleh pihak-pihak berkaitan.


Apa yang mengkagumkan penulis Persidangan Palestin di Universiti Manchester ini digerakkan sepenuhnya oleh para pelajar universiti United Kingdom daripada pertubuhan Federation of Students Islamic Societies (FOSIS) namun apa yang menjadi tanda tanya kepada penulis ialah tiada pelajar Malaysia yang terlibat dalam FOSIS mahupun penganjuran persidangan ini. Jika dilihat dari segi penyertaan persidangan pun kurang para pelajar Malaysia yang hadir, sedangkan kita sedia maklum Universiti Manchester merupakan antara universiti mempunyai ramai pelajar Malaysia. Persoalannya sekali timbul ke mana mereka? Adakah mereka lebih berminat ke Teater of the Dream atau Stadium Old Trafford?

0 comments:

Catat Ulasan