Konsep ‘IslamicJerusalem’, ‘barakna fiha’ dan ‘barakna hawlahu’

Bahagian 3

Berikut adalah rumusan
yang diceduk dari buku 'Meneroka Identiti Islamicjerusalem' oleh Prof Dr Abd Fattah M El-Awaisi.

Meskipun Baitul Maqdis dibuka oleh Sy Umar al-Khattab pada tahun 637M (Jun atau Julai) bersamaan 16H (Rabiul Awal atau Akhir) iaitu 5 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW, namun Rasulullah SAW telah membina satu perancangan untuk membuka Baitul Maqdis sejak dari awal lagi.

Ttik permulaan kepada misi untuk pembukaan Baitul Maqdis bermula dengan peristiwa Isra' dan Mikraj. Peristiwa ini berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada tahun 620M (Pertengahan tahun ke 11 kenabian Rasulullah SAW). Mengambil kira Nabi diangkat menjadi Rasul dengan wahyu pertama di Gua Hira pada Ogos 610M dan wafat pada bulan Jun 632M (hampir 23 tahun). Ini bererti peristiwa Isra dan Mikraj berlaku pada pertengahan kareer Rasulullah sekaligus menjadi titik tolak (turning point) dalam misi Rasulullah SAW. Sayugia diinsafi, Isra dan Mikraj berlaku pada saat yang paling genting dalam perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW dan para muslimin baru terlepas dari boikot yang dikenakan Quraish di Mekah. Ini disusuli pula dengan wafatnya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib, dua tonggak utama kepada Rasulullah SAW. Sebaik sahaja terlepas dari kepungan, Rasulullah berdakwah kepada Bani Thaqif di Taif dengan natijah yang semua maklumi iaitu Nabi disakiti dan dilempari dengan batu. Inilah suasana atau latarbelakang kepada peristiwa mukjizat Isra' dan Mikraj.

Terdapat kesamaan di antara pengalaman Rasulullah SAW dan juga Nabi Ibrahim AS dan hubungannya dengan Baitul Maqdis. Nabi Ibrahim AS telah dimusuhi oleh Namrud dan kaumnya sehingga Nabi Ibrahim AS dicampakkan ke dalam api. Setelah Allah SWT menyelamatkan Nabi Ibrahim dari kaumnya, Allah memerentahkan Nabi Ibrahim berhijrah ke Aelia (Baitul Maqdis) sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Anbiya ayat 69 - 71

"Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! Dan mereka (dengan perbuatan
membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi.
Dan kami selamatkan dia dan sepupunya Lut ke negeri yang kami limpahkan berkat padanya untuk semua di seluruh alam
(lil alamin) iaitu Al-Ard al-Lati Barakna fiha."

Kedua-dua Rasullullah SAW dan Nabi Ibrahim AS dijemput ke Baitul Maqdis setelah menghadapi permusuhan kaum mereka. Ini menunjukkan bumi al-Aqsa adalah bumi harapan (amal), bumi keselamatan dan kesejahteraan. Ia adalah bumi yang memberi harapan kepada pejuang-pejuang kebenaran untuk mengumpul kekuatan dan menanam keyakinan bahawa Islam tetap menang meski pada saat-saat paling mencengkam. Bumi al-Quds adalah negeri yang Allah limpahkan berkat untuk semua di seluruh alam. Ia adalah 'save haven' atau sanctuary kepada semua manusia tanpa mengira bangsa bahkan agama. Ia memberi jaminan perlindungan kepada sesiapa sahaja. Ia membebaskan manusia dari sebarang ketakutan dan kebimbangan. Sebab itu setiap kali Baitul Maqdis dikuasai oleh umat islam maka semua penghuninya mendapat jaminan keselamatan dan hak asasi mereka dipertahankan. Sy Umar al-Khattab telah mengistiharkan Baitul Maqdis sebagai kota terbuka dan mengizinkan orang-orang Yahudi bermastautin di sana setelah mereka diusir oleh kerajaan Rum sejak ratusan tahun sebelumnya. Apabila Salahuddin al-Ayubi mengambil semula Baitul Maqdis dari tentera Salibiyah, orang-orang Kristian dibenarkan meninggalkan kota Baitul Maqdis dengan dijamin keselamatan mereka. Ini amat berbeza dengan sikap kaum Babylon (Nebuchadnezzar), kaum Rum, kaum Salibiyyin dan kelompok zionis Israel pada hari ini. Setiap mereka apabila berkuasa telah melakukan pembunuhan, kezaliman dan kebiadapan yang tiada taranya di dalam sejarah. Oleh kerana itu wajib bagi umat Islam mengambil kembali Baitul Maqdis supaya jaminan keselamatan kepada semua ditegakkan kembali seperti yang dijamin oleh Allah SWT.

Ketika singgah di Masjid al-Aqsa Rasulullah SAW mendirikan solat bersama 124,000 Nabi-nabi yang pernah diutus di muka bumi. Ini adalah perhimpunan perdana kemuncak yang mengesahkan status Baitul Maqdis yang inklusif sifatnya dan bukan ekskusif untuk kaum tertentu atau agama tertentu atau Islam sahaja. Sepatutnya statusnya sebagai kota terbuka untuk semua dipertahankan sehingga kini, menjadi tempat pertemuan untuk mencari jalan-jalan kedamaian pada sebarang konflik yang berlaku di mana-mana juga di dunia.

Selepas peristiwa Isra' dan Mikraj Nabi SAW tanpa henti telah berjuang untuk menegakkan Islam dalam bentuk tatacara kehidupan dan pemerintahan di Madinah. Meskipun demikian Nabi SAW tidak pernah mengabaikan Baitul Maqdis dan sentiasa menghantar isyarat kepada para sahabat mengenai hasrat Baginda untuk melihat Baitul Maqdis kembali ke tangan umat Islam agar statusnya sebagi bumi harapan (amal) dapat dihidupkan kembali. Ini boleh terlihat kepada beberapa hadis Rasulullah SAW, pesan dan amanat baginda kepada para sahabat. Di antara hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan perancangan ini ialah pesan Rasulullah SAW kepada seorang sahabat Shaddad bin Aws

"Syam akan dibebaskan, dan BaitulMaqdis akan dibebaskan, di sana kamu (Shaddad bin Aws) dan anak-pinak kamu akan
menjadi imam, jika Allah izinkan"

Kemudian dalam perjalanan ke perang Tabuk (630M) Nabi berpesan kepada kepada seorang sahabat Auf bin Malik

"Kira enam perkara, Awf, dari sekarang hingga hari kiamat. Pertama ialah kematianku.., yang kedua ialah pembukaan Baitul Maqdis"

Kedua hadis ini menunjukkan Nabi SAW sentiasa membina ingatan terhadap Baitul Maqdis di kalangan sahabat bahkan menjelaskan Baitul Maqdis akan dibuka setelah wafatnya baginda SAW. Shaddad bin Aws RA benar-benar menjadi imam dan Baitul Maqdis dibuka oleh Sy Umar 5 tahun setelah wafatnya Rasulullah SAW.

Nabi SAW turut berwasiat dan mewakafkan bandar Hebron (Ibrahimi) kepada seorang sahabat yang bernama Tamim bin Aws ad-Dari dan keluarganya. Tamim bin Aws adalah penduduk Baitul Maqdis yang pertama masuk Islam. Wasiat ini diungkapkan pada saat Baitul Maqdis masih lagi berada di bawah pemerintah Rum Timur. Wasiat ini tersimpan elok dalam khazanah Khialafah Uthmaniah (Turki). Keabsahan wasiat ini tidak diragui sedikit jua sehingga ditegaskan oleh Imam al-Ghazali 'barangsiapa yang mempertikai wasiat ini maka jatuh kafirlah ia". Bahkan apabila British mentadbir baitul Maqdis telah mengeluarkan perentah mahkamah pada tahun 1927. berdasarkan arahan Ketua Hakim British, Thomas Haycraft bahawa wakaf atas nama Tamim bin Aws dan keluarganya adalah sah.

Bersambung InsyaAllah

Dr Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

Catat Ulasan